leaderboard

Dunia Islam Punca Di Sebalik Tragedi Aylan Kurdi?

Dunia menangisi nasib Aylan Kurdi. Anak malang yang usianya belum pun sampai tiga tahun itu ditemui terdampar di Pantai Bodrum, Turki.



Tubuh tertiarap, mukanya menghadap pasir, Aylan kemudian dikenal pasti sebagai seorang daripada 12 warga Syria yang hanyut setelah bot yang mereka naiki untuk menyelamatkan diri daripada perang di tanah air mereka ke Greece, karam.

Keluarga Aylan berasal dari Kobani berdekatan sempadan Turki di utara Syria yang jadi medan tempur militan IS dan gerila Kurdis sejak beberapa bulan lalu.

Yang kita lihat, foto Aylan yang sudah tidak bernyawa. Tidak sanggup hendak membayangkan bagaimana azab si kecil berbaju merah dan berseluar biru itu dilambung ombak ganas sebelum nafasnya berakhir.

Mereka antara ribuan insan kecil yang dibawa masuk ke dalam kancah peperangan oleh kepentingan pihak lain yang tidak ada kena mengena dengan mereka. Mereka adalah sebenarnya mangsa!

Aylan bukan ancaman kepada sesiapa. Pandanglah anak-anak kita. Bagaimana jika mereka juga dihadapkan dengan nasib seperti Aylan.

Aylan hanya satu daripada beribu cerita duka dari sebuah negara yang bergolak. Dalam keadaan dunia yang tidak berapa bulat ini, pasti masih banyak lagi kisah yang tidak terdedah malah mungkin lebih menyayat hati.

Puluhan ribu pelarian Syria kini cuba mengadu nasib di Eropah akibat perang yang sudah bertahun di tanah air mereka.

Melintasi laut Turki dengan bot untuk ke Greece sebagai pintu masuk ke negara Eropah yang lain, mereka mencari kehidupan baharu setelah tanah air sendiri sudah tidak lagi selamat untuk didiami.

Mengikut statistik agensi bantuan kemanusiaan, setiap hari hampir dua ribu pelarian Syria cuba memasuki Greece.

Di Austria, polis baru-baru ini menemui puluhan mayat yang telah busuk dalam sebuah trak ditinggalkan di tepi jalan antara Vienna dan Budapest.

Mangsa adalah pelarian yang diseludup masuk untuk mencari kehidupan di negara orang dalam percubaan lari daripada kesengsaraan perang di negara sendiri. Mereka mati akibat sesak nafas setelah dipaksa bersembunyi dalam tempat yang tertutup dalam keadaan sesak lagi berhimpit.

Kematian jadi rutin dalam kehidupan manusia dari sebuah negara yang bergolak. Yang cuba hendak bertahan di tanah kelahiran, mereka diancam peluru dan letusan bom pada setiap saat tanpa senggang.

Baru-baru ini, masyarakat dunia dipaparkan sekeping gambar yang begitu menyayat hati: Seorang ibu memeluk tubuh anak kecilnya, yang kepalanya hancur akibat dibom. Juga di Syria.

Ya, seperti Aylan, anak kecil itu juga sudah tentu bukan ancaman bagi sesiapa.

Sebahagian besar penduduk Syria kini menjadi manusia yang tidak bertanah air. Mereka lari meninggalkan kampung halaman dalam keadaan penuh ketakutan untuk mencari tempat yang lebih selamat bagi diri dan keluarga.

Bukan dari Syria sahaja, beberapa hari sebelum trak berisi mayat ditemui di kampung yang bernama Parndorf di tepi jalan Vienna, Budapest, 40 mayat ditemui bertindan dalam sebuah bot di Laut Mediterranean yang sebelum itu baru kira-kira lima jam meninggalkan pantai Zuwara, Libya.

Mereka dalam perjalanan mencari kehidupan baru di Itali. Ironinya, yang ditemui adalah penyeksaan dan kematian.

SEDIH




Menangisi secebis daripada beribu cerita sedih ini, ia berkaitan dengan peperangan di negara-negara Islam. Dan larinya para imigran, atau disebut juga pelarian perang adalah ke negara bukan Islam.

Tertanya-tanya oleh kita: Mengapa mereka tidak lari ke negara Islam yang berjiran, yang lebih hampir dan mungkin aman?

Ada beberapa pandangan yang pernah diajukan berkaitan dengan topik ini. Pandangan yang pertama menyatakan, ini ada hubung kait dengan kepercayaan, hilangnya kepercayaan, juga harapan.

Apabila mereka – pelarian – berasakan diri mereka telah menjadi mangsa ketidakadilan, ketamakan kuasa dan kekejaman yang berlaku di tanah air mereka sendiri, oleh pemerintah ataupun pemimpin mereka sendiri, mereka sudah tidak ada lagi kepercayaan dan harapan untuk mendapatkan perlindungan di mana-mana negara Islam atau di bawah naungan mana-mana pemimpin Islam.

Sebaliknya dalam keadaan itu, mereka lebih rela untuk bergantung harap atau mengadu nasib di negara bukan Islam seperti Jerman, Finland, Iceland, Denmark, juga negara-negara Eropah yang lain.

“Itu sebab mereka lari ke sana. Walaupun bukan seagama, mereka lebih percaya kepada pemerintah negara bukan Islam ini untuk memberikan mereka perlindungan dan ruang membina kehidupan baharu.

"Ini disebabkan fakta di negara berkenaan yang pemerintahnya lebih berintegriti dan bersungguh-sungguh mengusahakan kehidupan yang berkualiti untuk rakyat berbanding kebanyakan negara-negara Islam,” kata seorang ustaz ketika menyampaikan kuliah subuh di sebuah masjid.

“Walaupun ada tanggapan bahawa sesetengah pemimpin negara bukan Islam di Eropah yang menjadi dalang kekacauan di negara-negara Islam, rakyatnya sendiri dijaga dengan cukup baik. Ini lebih meyakinkan golongan pelarian ini untuk mengadu nasib di sana berbanding negara Islam yang berjiran dengan mereka,” kata ustaz itu lagi.

Dalam pada itu, ada yang mengandaikan apa yang sedang berlaku sebagai strategi kuasa besar termasuk daripada kalangan negara Eropah sendiri dalam percaturan politik Timur Tengah.

Atef Alkhawaldah dari Petra, Jordan, menyatakan beliau mencurigai itu sebagai strategi untuk menghalau atau membiarkan Muslim dan Kristian dari negara Arab dan Afrika berbondong-bondong lari meninggalkan negara mereka sekali gus membiarkan ruang yang lebih selesa buat Israel melebarkan lagi wilayah negara Yahudi itu di Timur Tengah.

ANJING




Menurut Atef, kecurigaannya itu bersandarkan pada latar belakang dan sejarah politik negara-negara Arab termasuk pelantikan sesetengah pemerintah yang ada pada hari ini, yang juga bersusur galur daripada percaturan yang diatur oleh kuasa Eropah sendiri pasca kolonial.

“Mengapa hari ini mereka begitu prihatin tentang nasib pelarian sedangkan mereka tidak pun bersungguh-sungguh menyelesaikan masalah di Syria? Mengapa dulu Perancis dan NATO bersungguh-sungguh menyerang Libya sedangkan dalam krisis di Syria, mereka diam saja?” katanya.

Menurut Atef lagi, cerita rakyat sesetengah negara Asia Barat lari ke Eropah bukan baru ini sahaja berlaku sebaliknya sudah lama tetapi tidak pernah diberikan perhatian. Tindakan mereka katanya adalah bersebab dengan pemerintahan ‘kuku besi’ sesetengah pemimpin yang diangkat oleh penjajah Eropah pada masa silam yang masih diwarisi masalahnya hingga hari ini.

“Mengatasi masalah ini bukan dengan memindahkan penduduk negara itu ke negara lain tetapi apa yang sepatutnya dilakukan ialah dengan menarik balik sokongan yang diberi oleh negara-negara maju kepada para diktator yang masih memerintah. Dengan itu, tidak akan ada sesiapa lagi yang akan meninggalkan negaranya untuk mati di pantai negeri orang kerana mereka bukan dijanjikan ‘syurga’ di sana,” katanya. 

Apa pun, suatu kebimbangan yang tidak pernah lekang dari hati kita adalah persoalan yang berkaitan dengan akidah. Tidak. Ini bukan soalnya menghina keimanan atau keislaman sesiapa tetapi kesan peperangan adalah sangat buruk dan tidak akan disanggupi oleh sesiapa pun. Dan mereka yang jadi mangsa sanggup berbuat apa sahaja asalkan terselamat daripada perang.

Sebuah keluarga pelarian dari Iran yang asalnya Islam dalam satu laporan bergambar ditunjukkan sedang menjalani upacara pembaptisan di sebuah gereja di Jerman.

Bekas Perdana Menteri Australia (sebelum digulingkan menerusi undi tidak percaya di Parlimen), Tony Abbott dalam satu kenyataan minggu lepas menyatakan, negaranya hanya bersedia untuk menerima pelarian dari Timur Tengah yang beragama Kristian sahaja.

Bukanlah maksud kita untuk mencurigai mereka yang membantu saudara kita yang tidak bernasib baik ini. Kebaikan yang mereka lakukan menampilkan nilai moral yang sangat tinggi seperti Juha Sipila, Perdana Menteri Finland yang menawarkan kediamannya untuk dijadikan tempat tinggal beribu pelarian Islam Asia Barat.

Kita percaya, apa yang mereka lakukan adalah nilai baik dalam agama mereka. Dan sekalipun mereka mempunyai motif agama, itu bukan kesalahan di pihak mereka kerana kita – orang Islam – juga akan melakukan perkara yang sama jika berada di tempat mereka.

Namun apa yang dibimbangi ialah kemungkinan kita hilang saudara-saudara seagama yang terdesak akibat sikap tidak peduli kita dan pada masa yang sama, terpesona pula dengan keprihatinan mereka yang peduli hingga sanggup meninggalkan agama. Ini bukan mustahil malah amat mudah untuk terjadi dalam situasi begini.

Jika inilah realitinya, kita bukan sahaja akan hilang saudara seIslam yang sepatutnya menjadi tanggungjawab kita, malah akan kehilangan maruah juga.

Apa tindakan OIC dan pemerintah negara-negara Islam yang kaya raya dalam situasi seperti ini?

Pepatah Arab menyebut: “Manusia lebih rela jadi anjing pada masa aman daripada hidup sebagai manusia ketika perang.”






0 Komentar untuk "Dunia Islam Punca Di Sebalik Tragedi Aylan Kurdi? "

 
Copyright © 2014-2015 Gilerrr Sembang - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info